Sunday, February 3, 2008

Belia Masuk Kampung -Kg Tudan Tuaran..


Baru-baru ne dalam sekitar bulan November..CSG UMS ada buat Belia masuk kampung di Kg Tudan Tuaran.. Saya lah Pengarahnya ..Memang penat tapi puas hati dan enjoy lah...Siuk betul kamiorang disana sebab...memang syok bah...urang bilang dsana tu macam di New Zealand...jarang-jarang matahari keluar..sejuk ooo ...Apa tida..tengah hutan belantara bah tu kampung... Urang-urang kampung sana bagus-bagus belaka...Ini lah kunun Ajk kami yang p sana..


Lembaga Pengarah
Pengarah: Fidelis Francis Andam
Tim. Pengarah: Jackson Ikum
Setiausaha: Jane Joimin
Bendahari: Stephanie Yunggun


And ada juga AJK kecil yang lain tapi sya lupa suda..

Bah..ni pula komen-komen dari peserta...


Lydia John,

BELIA MASUK KAMPUNG(BMK) KE 8
KG TUDAN, TUARAN

1. Apa itu BMK bagi saya? Mengapa saya mengikuti BMK?
Bagi saya BMK membawa maksud peluang bagi belia atau pelajar melihat, mempelajari dan merenungi pelayanan Tuhan dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Bukan itu saja, kita juga dapat mengongsikan cinta kasih Tuhan kepada setiap individu di dalam kampung ini. BMK membantu kita melihat perjalanan iman Kristian kita dalam menempuh segala rintangan dan cubaan.
Saya mengikuti BMK kerana saya ingin menimbah pengalaman di dalam melayani masyarakat yang mempunyai jalan kehidupan yang berlainan dengan saya. Di samping itu juga, saya ingin merasakan cinta kasih Yesus yang dicurahkan bagi setiap umatNya tidak kira dimana atau bagaimana cara kehidupan mereka.

2. Apa yang saya lihat dan pelajari semasa BMK?
Semasa mengikuti aktiviti ini, saya melihat kehidupan masyarakat yang mempunyai taraf kehidupan yang berlainan. Ada yang hidup dengan serba lengkap, ada yang hidup sederhana dan ada juga yang hidup serba kekurangan. Masing-masing mempunyai cara kehidupan sendiri. Namun, jelas sekali kelihatan, biar apa sahaja yang berlaku hidup mereka sentiasa lengkap dengan adanya cinta kasih Tuhan.
Melalui semua ini, saya mempelajari, kesusahan, rintangan dan cubaan akan menjadi ringan dengan hadirnya cinta kasih terhadap sesama. Itulah harta yang paling penting di dalam kehidupan kita.

3. Bagaimana BMK dapat membantu saya melihat dan mengalami cinta kasih Tuhan dalam hidup saya?
Dengan mengikuti aktiviti ini saya dapat mengongsikan cinta kasih di antara satu dengan yang lain. Kasih ini dapat dirasai apabila kami bekerjasama melakukan aktiviti- aktiviti yang telah dirancang. Antaranya , sesi bersama kanak-kanak dan juga keluarga angkat. Kerjasama yang ditunjukan oleh para peserta di dalam melayani dapat dilaihat dengan jelas.

4. Adakah BMK membantu diri saya dalam menjadi belia/pelajar yang lebih peka terhadap isu-isu semasa?
Ya. Kerana melalui BMK, banyak perkara-perkara baru yang boleh dipelajari contohnya masalah-masalah yang biasanya dialami oleh penduduk kampung dsb.

5. Apakah perkara utama yang mencabar saya semasa tinggal dengan keluarga angkat?
Perkara utama yang mencabar saya ialah cara hidup. Semasa tinggal bersama dengan keluarga angkat, saya dapat melihat cara kehidupan yang berbeza dengan kehidupan seharian saya. Walau bagaimanapun, saya berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan ini.



C Nola Kiut Pla,



apa itu bmk bagi saya? mengapa saya mengikuti bmk?
Ø ‘Belia Masuk Kampung’ bagi saya adalah satu aktiviti mengenali orang baru di satu tempat baru yang mana saya perlu melihat dan mengalami sendiri dengan hidup bersama keluarga angkat dan komuniti kampung tersebut,. Dalam masa yang sama, saya juga memberikan mereka apa yang saya ketahui yang mungkin dapat membantu mereka. Mengapa saya mengikuti bmk? Saya ingin cuba sesuatu yang bukan dalam ‘zon selamat’ atau aktiviti rutin saya sendiri. Oleh itu dengan mengikuti bmk, saya boleh melakukan aktiviti harian orang lain dan mengamalkan adat kampung tersebut yang mungkin sesuatu yang baru bagi saya. Selain itu, sebagai pelajar pula, saya boleh mempraktikkan apa yang saya sudah ketahui seperti hal yang berkaitan dengan pendidikan dan pengetahuan perubatan.

apa yang saya lihat dan pelajari semasa bmk?
Ø Perkara paling menyentuh yang saya lihat dan pelajari semasa bmk adalah kemesraan dalam kehidupan yang sederhana. Contohnya,‘bertarik-tarik selimut’ atau lebih tepat ‘berkongsi’ kerana kesejukan sambil menonton televisyen yang menggunakan tenaga solar. Selain itu, hidup bersama keluarga yang mempunyai ramai anak-anak yang masih kecil membantu saya mengimbas kembali kehidupan keluarga saya sendiri. Bagaimana kami membesar dalam suasana kekeluargaan seperti sebagai adik-beradik yang saling tuduh-menuduh siapa yang buang angin yang busukJ dan belajar untuk mengampuni sesama.

bagaimana bmk dapat membantu saya melihat dan mengalami kasih Tuhan dalam hidup saya?
Ø Selama 4 tahun saya menuntut di UMS, saya telah mengikut bmk sebanyak 4 kali dan dalam keempat-empat bmk yang saya ikuti, saya sedari tema yang dibawa adalah mengenai KASIH. 26 Nov hingga 2 Dis baru-baru ini kami telah mengadakan bmk di Kg Tudan Tuaran Tambunan dengan bertemakan ‘Sama seperti Aku telah mengasihi kamu, Demikian pula kamu harus saling mengasihi’ Yohanes 13:34. saya sedar tema pilihan tahun ini bukanlah hanya sebagai hiasan semata-mata untuk melengkapkan program tahunan Catholic Student Group kami ini. Dengan tema ini, saya cuba melihat dan mengalami kasih Tuhan melalui cara hidup berkeluarga dengan keluarga angkat yang belum saya kenali sebelum ini. Setiap perkara kecil yang kami lakukan bersama seperti memanaskan badan di awal pagi di hadapan unggun api (sejuk betul bah di kg TudanJ), bersarapan dan mencabut rumput-rumput kecil yang mengganggu tanaman di kebun, saya tahu semuanya berlaku bersama kasih di dalam diri. Kasih yang semakin berkembang terhadap keluarga yang baru dikenali. Dan ini membawa kesedaran kepada peribadi saya sendiri bahawa saya perlu terus belajar untuk mengasihi sesama dan bersyukur atas karunia kehidupan di mana pun saya berada.

adakah bmk membantu diri saya dalam menjadi belia/ pelajar yang lebih peka terhadap isu-isu semasa?
Ø Melalui pengalaman-pengalaman yang diperoleh, bmk banyak membantu saya untuk menjadi belia/ pelajar yang lebih peka terhadap isu-isu semasa terutamanya dalam era globalisasi ini. Salah satu isu yang tidak pernah berkesudahan adalah penghijrahan belia ke tempat lain seperti KL yang menjanjikan kemewahan. Ada di antara mereka yang mungkin mencapai apa yang dicari namun terhadap pelbagai kemungkinan lain iaitu hak mereka sebagai pekerja dieksploitasi, ditipu atau mungkin juga mereka hilang arah. Oleh itu, dengan adanya aktiviti seperti bmk ini kami dapat berkomunikasi dengan ahli keluarga dan cuba menyelami masalah-masalah yang mungkin berlaku di kampung tersebut.

apakah perkara utama yang mencabar saya semasa tinggal dengan keluarga angkat?
Ø Cabaran-cabaran seperti menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama keluarga angkat sememangnya perlu ditempuhi. Namun apa yang paling mencabar bagi saya secara peribadi adalah bagaimana mengasihi orang lain dengan ikhlas dan bukannya kerana terpaksa atau berpura-pura. Saya perlu benar-benar memainkan peranan sebagai seorang anak, kakak atau sebagai adik dalam hidup berkeluarga sebagai seorang Katolik. Setiap perkara yang saya lakukan haruslah lahir dari hati yang benar-benar mahu melakukan sama seperti Yesus yang merendahkan hati untuk datang ke dunia demi karya penyelamatanNya.


C Sixtus Peter Plak??


Sebagai seorang penuntut yang baru, saya mencari-cari kumpulan atau persatuan yang betul-betul sesuai untuk saya supaya saya tidak rasa terpinggir di universiti ini. Selepas menyertai Catholic Student Group – Universiti Malaysia Sabah (CSG-UMS) melalui Welcoming Junior Party dan Hari warga Kampus, saya dijemput bukan sahaja untuk menyertai Belia Masuk Kampung Ke 8 di Kampung Tudan sebagai peserta tetapi juga sebagai tim pelaksana atau ajk.
Pada mulanya tujuan untuk mengikuti program BMK-8, seperti program-program yang saya ikuti sebelum ini, untuk lebih mengenali CSG-UMS dan mencari lebih ramai kawan. Bagi saya, BMK-8 ini merupakan satu aktiviti yang baik untuk mengisi masa cuti dan sebagai titik tolak bagi saya dalam pelayanan sebagai seorang ahli CSG-UMS. Pada mulanya juga, saya menyangkakan saya akan masuk sebagai mahasiswa universiti yang akan mengajar penduduk kampung terutamanya kanak-kanak dan belia mengenai agama, membantu orang-orang kampung untuk memperbaiki kehidupan serta meningkat taraf gereja di Kampung Tudan. Saya tidak sedar akan betapa angkuh dan egonya pemikiran saya sebelum masuk ke Kampung Tudan.
Setelah masuk ke kampung, baru sahaja hari pertama semua sangkaan saya mula goyah. Cabaran pertama yang saya hadapi adalah tandas yang jauh dari rumah dan tempat mandi yang terbuka dengan hanya menggunakan pili air. Suhu kampung Tudan yang sangat sejuk juga sedikit sebanyak mencabar kesabaran dan kesihatan sehingga bibir pun mula kering.
Selepas berhari-hari di kampung, pemikiran saya sebelum ini seperti dicuci sepenuhnya. Disinilah saya merasakan Roh Kudus sedang bekerja didalam saya. Jika sebelum ini saya masuk kampung sebagai seorang mahasiswa, kini saya berada dalam kampung sebagai individu yang tidak mempunyai apa-apa. Jika sebelum ini saya ingin mengajar kanak-kanak dan belia mengenai ajaran agama, sebenarnya saya sedang belajar bersama mereka dan sama-sama mendalamkan iman kepercayaan. Sebelum ini dengan angkuhnya saya berfikiran untuk membantu penduduk kampung dan mencantikkan lagi gereja, sebaliknya kini saya dibantu oleh orang-orang kampung untuk belajar merendahkan diri dan sentiasa bersyukur dengan apa yang Tuhan telah berikan kepada kita. Dalam jangkamasa 6 hari saya berada di Kampung Tudan, terlalu banyak yang saya pelajari, alami dan saksikan. Melalui slot-slot analisis sosial dan theological reflection, peserta-peserta dibawa untuk menjadi belia dan pelajar yang lebih peka kepada isu-isu semasa yang berlaku di negeri kita sendiri.
Keluarga yang menerima kami sebagai anak-anak angkat juga melayan kami dengan sebaik yang mungkin walaupun sebelum ini mereka langsung tidak mengenali siapa kami. Bukan sahaja keluarga angkat saya tetapi setiap individu yang kami jumpa dan lawati di kampung melayan setiap peserta seolah-olah kami sudah tinggal bertahun-tahun di kampung itu. Dengan semua yang kami alami ini, kami benar-benar dapat melihat wajah Yesus dalam setiap individu di kampung ini. Pengamalan ini sangat bermakna buat saya dan ia benar-benar membantu saya melihat dan mengalami kasih Tuhan dengan lebih dekat lagi.
Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menyertai program seperti ini. Saya percaya rakan-rakan saya yang lain turut merasakan apa yang saya rasai. Pelayanan saya tidak berhenti selepas tamatnya program BMK-8 di Kampung Tudan Tuaran ini tapi ia telah menjadi titik tolak bagi saya untuk terus melayani umat Tuhan dimana jua dan untuk mengabdi kepadaNya sepanjang masa.

Disediakan Oleh,
Sixtus Pitah Amit
Pelajar Tahun Satu, Jurusan Komunikasi
Universiti Malaysia Sabah.
Exco Logistik
Belia Masuk Kampung Ke 8, Kampung Tudan, Tuaran


ha..ha..

Thanks for reading...


No comments: